Adakah anda sering makan ulam raja sebagai hidangan sampingan? Sayuran ini merupakan salah satu ulam-ulaman yang cukup popular di Malaysia.
Ulam dengan nama saintifik Cosmos caudatus ini mempunyai aroma serta rasa yang wangi dan unik.
Ia juga sering dipadankan bersama sambal belacan, sambal kelapa atau budu untuk membangkitkan lagi rasanya.
Ulam ini turut menjadi salah satu komponen penting dalam hidangan seperti laksa, nasi ulam dan nasi kerabu.
Di sebalik kesegaran dan keenakan ulam ini, apakah khasiat yang terkandung padanya? Adakah cara lain untuk nikmati ulam ini selain dimakan mentah? Ayuh ikuti perkongsian daripada kami.
Isi Kandungan tunjuk
Kandungan Nutrisi
Berikut merupakan kandungan nutrisi bagi ulam ini bagi setiap 100 gram :
KandunganJumlah
Kalori18 kcal
Protein2.9 g
Serat1.6 g
Kalsium270 mg
Fosforus37 mg
Kalium426 mg
Karotena3,568 ug
Zat besi4.6 mg
Vitamin A595 ug
Vitamin C64.6 mg
ulam raja
Sumber : Nutritionist KKM
Khasiat Ulam Raja Untuk Kesihatan
- Meningkatkan Fungsi Otak dan Mencegah Demensia
Sebuah kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati bahawa individu yang mengambil kapsul ulam ini telah menunjukkan perubahan yang positif dalam fungsi kognitif otak dan berpotensi mencegah masalah demensia.
Para pengkaji berpendapat ini mungkin disebabkan oleh kandungan flavonoid yang tinggi di dalam ulam ini yang berpotensi untuk terlibat dalam laluan neuroprotektif serta melindungi sel-sel otak.
- Tinggi Antioksida
Radikal bebas yang berlebihan dalam tubuh boleh mengakibatkan kerosakan sel badan dan mengganggu fungsi otak.
Pengambilan ulam raja yang padat dengan antioksidan khususnya gluthathione didapati mampu menurunkan tahap radikal bebas dan sekaligus membantu melindungi tubuh daripada pelbagai penyakit.
Sebuah kajian daripada Universiti Sains Malaysia juga mendapati ulam ini mempunyai khasiat antioksida yang paling tinggi sekiranya dibandingkan dengan ulam lain seperti daun pegaga, petai, daun selom dan daun kari.
Pada masa yang sama, antioksida juga penting untuk melindungi serta mengekalkan kesihatan mata, kulit dan rambut.
- Berpotensi Membaiki Mood dan Mengurangkan Stres
Kandungan flavonoid dalam ulam ini juga didapati berpotensi untuk mengurangkan gangguan mood serta mempunyai kesan anti-depresi bagi mengurangkan rasa cemas.
Diet tinggi flavonoid juga dipercayai mampu mencegah depresi dan keradangan sel-sel otak.
- Baik Untuk Kesihatan Tulang
Dengan kandungan kalsium dan fosforus yang tinggi, ulam ini sangat baik untuk diamalkan bagi mengekalkan ketumpatan serta kesihatan tulang di samping mencegah masalah osteoporosis (tulang reput).